About Me
25 Oct 2011
Tokoh Ulamak
Tok Guru Nik Aziz, Perginya Seorang Ilmuwan, Tokoh Agama Kelantan
Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2015/02/tok-guru-nik-aziz-perginya-seorang.html#ixzz3SAkMICEw
Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook
Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2015/02/tok-guru-nik-aziz-perginya-seorang.html#ixzz3SAkMICEw
Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anak kedua daripada
sembilan adik-beradik dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka,
Kota Bharu Kelantan.
Jam 9.45 malam (Khamis, 12/02/2015), Allahyarham
menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman selepas dibawa pulang dari Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, lewat sejam sebelumnya.
Difahamkan ketika dibawa pulang, alat bantuan pernafasan sudah pun
ditanggalkan, menandakan keadaan beliau yang hampir pasti akan pergi
selama-lamanya pada malam Jumaat ini.
Pendidikan Awal
Pengajian Islam Nik Aziz bermula di beberapa sekolah pondok di Kelantan dan
Terengganu, sebelum disambung di Darul Uloom Deoband, Uttar Pradesh, India
selama lima tahun.
Beliau kemudiannya menyambung hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera
dalam Pengajian Bahasa Arab dan Ijazah Sarjana dalam Perundangan Islam di
Universiti Al-Azhar, Mesir.
Sekembalinya dari Mesir, Nik Aziz memulakan kerjaya sebagai guru di beberapa
buah sekolah agama di Kelantan.
Dikatakan kerana pengalaman menuntut ilmu di pelbagai negara, beliau menguasai
beberapa bahasa antaranya Arab, Inggeris, Tamil dan Urdu.
Perkahwinan Dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak
Hasil perkongsian hidup Nik Aziz dan Tuan Sabariah Tuan Ishak, mereka
dikurniakan 10 orang cahaya mata, lima lelaki dan lima perempuan.
Sebelum menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, Nik Aziz merupakan
seorang guru agama yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah agama termasuk
Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar
dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan.
Oleh kerana aktifnya beliau dalam bidang pendidikan agamalah, beliau popular
dengan panggilan ‘Tok Guru’ dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya rakyat
Kelantan.
Politik Dalam PAS
Nik Aziz menjadi ahli PAS pada tahun 1967 dan penyertaannya dalam parti itu
disenangi ramai hingga akhirnya diberikan kepercayaan menjawat jawatan
tertinggi Mursyidul Am.
Ketika menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau dikenali sebagai seorang pemimpin
yang cukup zuhud dan warak. Hampir setiap ketika, beliau dilihat dalam keadaan
berjubah dan berserban.
Malah terdapat cerita berlegar, Nik Aziz dikatakan solat dalam keadaan gelap
dalam pejabat rasminya kerana tidak mahu menggunakan wang kerajaan untuk
kepentingan diri.
Rumah kediamannya pula hanyalah sebuah rumah kampung seperti yang dimiliki
rakyat biasa, dan dikatakan rumah beliau tidak berpagar sama sekali serta tiada
pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.
Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) menobatkan Nik Aziz
sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.
Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah
sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.
Pada tahun 2009 pula, beliau tersenarai antara 50 tokoh Islam paling
berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most
Influential Muslims”.
Penglibatan Politik Sebagai ADUN Chempaka
Beliau ketika menjadi Menteri Besar merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
N.06 Chempaka, Kelantan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-11, Nik Aziz menyandang kerusi tersebut setelah
mengalahkan Ruhani Mamat (BN) dengan majoriti undi sebanyak 3,694.
Pada pilihan raya umum Malaysia ke-12 pula, beliau bersemuka dengan Datuk Dr
Nik Mohd Zain Omar yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan
DUN sama.
Secara peraturannya, Nik Aziz sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari
penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangan pada
borang penamaan calon.
Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu
menandatangani semula borang pencalonan tersebut. Keputusan pilihan raya itu
menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.
Nik Aziz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan pada Mei 2013 atas
faktor usia lalu melantik timbalannya ketika itu, Datuk Ahmad Yakob sebagai
pengganti.
Peletakan jawatan itu mengakhiri pimpinan Nik Aziz selaku MB Kelantan selama 23
tahun.
Al-Fatihah..
Subscribe to:
Posts (Atom)